Pagi raya kedua ini, sebelum keluar beraya selepas Zohor sebentar lagi, saya mengisi masa mengulang dengar kuliah al-fadhil Ustaz Hasrizal bertajuk ‘Seni Mendidik Yang Hilang’.

al-fadhil Ustaz memulakan pembentangan dengan petikan dari buku ‘The End of Education‘ tulisan Neil Postman yang menyebutkan bahawa perbincagan-perbincangan tentang sekolah selalu berbicara tentang ‘means‘ dan jarang sekali menyentuh tentang ‘ends‘.

Tambah Dr Neil Postman lagi, kita juga sering mengelak dari berfikir tentang persoalan ‘Mengapa?’ dan hanya fokus untuk melaksanakan. Ada isu baru, laksanakan solusi baharu. Ada perkembangan teknologi, tambah subjek baru. Sedangkan kata ustaz, pendidikan ini merupakan sesuatu yang sistemik.

Satu aspek dipengaruhi oleh aspek yang lain. Kenyataan ini disimpulkan dari Teori Ekologi Sosial oleh Bronfenbrenner pada tahun 1977. Saya diperkenalkan dengan teori ini semasa di IPG di dalam subjek ‘Murid dan Pembelajaran’.

Saya tidak pasti bagaimana dengan kawan saya yang lain, tetapi saya mendapati diri saya semasa bergelar guru pelatih di IPG seringkali mengambil ringan subjek-subjek tentang perkembangan kognitif, emosi dan bahasa murid. Pada waktu itu, saya tidak sedar bahawa semua pengetahuan ini sangat penting untuk memahami murid dan hari ini saya ‘dikerah’ untuk mengulangkaji topik-topik ini semula.

Teori Ekologi Sosial walaupun bergelar teori, sangat penting untuk direnungi oleh semua pihak yang terlibat di dalam pendidikan. Menurut Bronfenbrenner, perkembangan seseorang individu dipengaruhi oleh satu sistem persekitaran yang saling berhubung kait (interconnected).

Bermula dari persekitaran terhampir iaitu mikrosistem seperti pengaaruh keluarga, rakan, dan jiran sehinggalah ke makrosistem yang melibatkan pengaruh ekonomi, politiik dan norma sosial, semuanya ini saling terhubung dana mempunyai impak kepada murid sama ada kecil atau besar.

Setakat pemerhatian saya di sekolah, kebanyakan masalah moral di sekolah seperti mencarut, isyarat lucah dan loyar buruk, kebanyakannya berpunca dari hantara-hantaran yang tular di media sosial khususnya ‘Tik Tok’. Inilah yang menyebabkan murid membalas “Kamu nanya?” kepada guru yang bertanya soalan.

Dari aspek ekonomi, saya pernah berhadapan dengan murid yang tidak hadir ke sekolah kerana ibunya tidak mampu memberi wang saku. Ibu bapa yang kedua-duanya bekerja kerana tekanan ekonomi juga menyebabkan murid tidak mendapat perhatian yang cukup. Mereka tidak terlatih menyiapkan tugasan rumah, mengikut jadual, baju kusut dan suka mengganggu rakan di kelas untuk mendapat perhatian.

Murid tidak menerima ‘pendidikan’ di sekolah semata-mata.

Silap-silap, semua yang telah dipelajari di sekolah boleh jadi tidak terserap atau jika sudah diserap oleh murid, apabila mereka berinteraksi dengan persekitaran lain selain sekolah, pembelajaran itu berubah. “Ustaz, saya tengok di TikTok, katanya begini dan begini? Ustaz kata tak boleh begini, ayah saya buat boleh saja?“.

Realitinya, murid memasuki kawasan sekolah bersama-sama dengan pelbagai bentuk pengaruh dari persekitaran mereka di luar.

Apabila guru membincangkan faktor dan punca luar, bukanlah bererti guru tersebut mahu menuding jari kepada pihak lain. Terlalu banyak manipulated variables dalam proses perkembangan murid dan mustahil untuk guru-guru mengawal persekitaran setiap murid seorang diri.

Semua pihak yang berkepentingan dalam pendidikan murid ada peranan tersendiri untuk menjayakan pembangunan karakter dan intelek mereka.

Leave a comment

Quote of the week

“Air itu menjadi rosak kerana diam dan tidak mengalir. Pemuda pula mati kerana masa lapangnya.”

~ Hikam Arab

Designed with WordPress

Design a site like this with WordPress.com
Get started