12 Syawal 1445, Telok Bahang, Pulau Pinang

Saya berkira-kira sama ada mahu rekodkan atau tidak hal peribadi ini. Tidak, ini bukan aib, cuma sedikit ujian yang menimpa keluarga.

“Hang bawa ayah ke klinik ka?”, tanya Along di ruang pesanan aplikasi Whatsapp.

“Hospital Kepala Batas”, saya membalas.

Dua hari sebelum menjelang Ramadan bersamaan 10 Mac, ayah mengadu sesak dada dan meminta dibawa ke Hospital Kepala Batas. Setelah, lebih kurang 6 bulan gagal dipujuk, akhirnya ayah mengaku kalah dan kali ini ayah sendiri yang mengajak.

Sampai sahaja di Unit Kecemasan, ayah terus dibawa ke zon merah, tidak perlu menunggu giliran. Ayah meminta supaya anak lelaki tunggalnya ini terus pulang, tidak mahu ditunggu. Mungkin dia tahu akan lama sangat lama.

Selepas 3 jam saya menunggu, jururawat lelaki memaklumkan ayah akan ditahan lebih lama di zon merah sementara menunggu hasil ujian darah. Selain itu, mereka juga mahu memastikan paras oksigen di dalam darah sedikit stabil. Saya diminta untuk menunggu panggilan telefon sahaja.

Malam itu, mak dan Rohani pula datang untuk tahu perkembangan ayah. Rupanya ayah masih di zon merah. Doktor memaklumkan ayah akan ditahan di wad.

22 hari ayah di rawat di sana dan lebih kurang 10 hari berada di wad ICU. Menurut doktor, ayah terkena serangan jantung. Paru-parunya pula dimasuki air. Ada satu hari, doktor menelefon untuk meminta izin supaya ayah ditidurkan kerana ayah tidak bernafas normal. Mujur setelah dikejut sekali lagi, ayah sedar semula.

Berbulan-bulan tidurnya tidak lena, selang sekejap terjaga. Siangnya, ayah tidak dapat aktif seperti biasa. Banyak tidur, nafas tidak stabil dan nampak lesu.

Hari ini ayah sudah semakin baik. Tidur lebih lena dan kakinya sudah tidak bengkak. Saya tahu ayah sangat sedih dan hampir putus asa. Awal-awal masuk hospital, ayah banyak bercakap pasal kematian, menyampaikan wasiat dan pesan-pesan lain.

Sakit yang banyak-banyak itu ada kalanya membuatkan dia tidak begitu berharap untuk membaiki kesihatannya. Ada kalanya, saya menyalahkan ayah. Saya katakan pada ayah, semua ini punca dari ayah tidak menjaga makan dan minum. Hari-hari pergi ke kedai kopi, hari-hari makan di luar.

Saya selalu begitu dengan ayah, ada sahaja kami saling tidak setuju. Dahulu kami best friend. Sayalah peneman setia ayah di kedai kopi, pagi, petang dan malam. Namun, saya perasan setelah saya mula menetap di asrama ketika usia 13 tahun, saya sudah tidak ‘bersemangat’ dan teruja untuk mengikut ayah keluar minum.

Shhhh, shhhh..“, ayah memberi isyarat yang bermaksud mengajak keluar ‘lepak’.

Malas la ayah..”, jawab saya acuh tak acuh.

Aneh sekali bagaimana kami anak-anak ayah berubah setelah menginjak usia remaja. Sedangkan dahulu, kami saling cemburu dengan siapa yang diajak ayah untuk keluar. Kadang-kadang ayah akan berkata, “Bu dah takmau kawan dengan ayah“. Ayah pasti terasa sedikit sunyi.

Semasa pulang cuti dari IPG, walaupun jarang-jarang, saya tetap ada juga mengikut ayah keluar. Apabila keluar, kami selalu berborak pasal perkembangan pembelajaran adik-adik. Ayah sangat seronok dengan 3 orang anaknya yang bergelar guru pelatih di IPG. Ayah juga berpuas hati melihat 3 adik di bawah yang menunjukkan minat untuk belajar.

Sesekali ayah mengimbau kenangan membawa saya dan Along ke kelas komputer di Pusat Budi Penyayang, Kepala Batas. Jika tidak silap, mungkin sekitar tahun 2008. Komputer pada waktu itu masih sangat mahal sedangkan ayah tahu ilmu menggunakan komputer sangat penting. Di sanalah, saya dan Along pertama kali belajar menggunakan Word Office, Paint, melayari internet di Explorer. Saya masih ingat Along mendapat tempat pertama dalam sebuah pertandingan melukis menggunakan perisian Paint di dalam komputer. Along memang berbakat.

Sesekali juga ayah menyelitkan pesanan-pesanan kepada saya. Katanya bila kerja nanti, elakkanlah membeli kereta mahal-mahal. Rumah pula tidak perlulah terlalu besar. Apabila dewasa, saya semakin dapat memahami maksud pesanan ini.

Ayah membesarkan kami 6 beradik dengan komitmen yang tidak sedikit. Setelah separuh hari di pejabat sebagai pemandu, ayah membanting tulang empat keratnya di ‘bendang’ pula. Di bawah bahang matahari yang garang, habis terbakar kulit ayah yang asalnya sawo matang. Sebagai anak, kita jarang melihat kesusahan ayah di tempat kerjanya. Kerana itu, kita sering mengambil ringan jasa seorang ayah.

Dewasa ini, saya dan ayah banyak sekali tidak sehaluan. Bermula dari fasa remaja yang mula mencari autoriti dalam membuat keputusan sehinggalah memasuki alam dewasa yang merasakan diri sudah cukup matang dan jernih fikiran.

Namun di bawah sedar, saya sebenarnya menjalani kehidupan di bawah pengaruh pesan-pesan ayah. Saya membeli kereta bajet sesuai pesanan ayah supaya tidak terjerat membayar pembiayaan bank.

Apabila memikirkan hubungan kami berdua, saya selalu teringatkan lagu berjudul ‘Father & Son’ nyanyian Cat Steven. Lagu tersebut berupa dialog dua hala antara seorang anak lelaki dan ayahnya. Si anak mendakwa ayahnya tidak memahami dirinya, si ayah pula menyatakan bahawa dirinya sudah pernah melalui apa yang dilalui anaknya dan mahu anaknya mengikut nasihatnya.

Setiap kali saya menasihati ayah agar menjaga makan dan pengambilan gula, ayah akan membalas, “Abang tua nanti baru abang akan faham”, kemudian ayah menyambung makan.

Saya tahu ada waktunya ayah cuba yang terbaik untuk menjaga kesihatan, namun kadang-kadang tewas juga dengan godaan teh tarik dan nasi kandar.

Saya coretkan kengangan-kenangan bersama ayah di sini dengan harapan jika saya pergi dulu sebelum ayah, ada adik-adik akan membacakan tulisan ini pada ayah memandangkan saraf mata ayah yang rosak menyebabkan penglihatannya terhad.

Jika saya pergi dahulu, saya harap ayah tahu bahawa saya sangat berterima kasih pada ayah. Atas pendidikan yang ayah beri, keselesaan dan kemewahan pada makan, minum, pakaian dan tempat tinggal.

Tidak lupa juga ungkapan yang berat sekali untuk disampaikan di hadapan ayah, saya mahu ayah tahu bahawa saya amat menyayangi ayah. Semoga Allah mengharamkan api neraka dari menyambar kulit ayah dan mak.

Semoga seperti kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya hanya kerana kebaikannya memberi minum seekor anjing yang dahaga, ayah dan mak juga diampun setiap bentuk dosa mereka kerana keikhlasan mereka melahirkan dan membesarkan anak-anak dengan kelembutan dan kesabaran.

Semoga di bawah sifat Iradah Allah swt, ayah dan mak dapat menghempuskan nafas terakhir dengan amalan terakhir yang dicintai Allah swt.

Leave a comment

Quote of the week

“Air itu menjadi rosak kerana diam dan tidak mengalir. Pemuda pula mati kerana masa lapangnya.”

~ Hikam Arab

Designed with WordPress

Design a site like this with WordPress.com
Get started